Monday, May 9, 2011

WAHAI HAWA

Hawa,
Andai engkau masih remaja,
Jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu,
Andai engkau sudah bersuami,
Jadilah isteri yang meringankan beban suamimu,
Andai engkau masih ibu,
Didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan Ad-din Allah...

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin,jangan risau jodohmu,
Ingat janji Tuhan....lelaki yang baik untuk perempuan yang baik,
Jangan dimulakan pertemuan dengan lelaki bukan muhrim kerana dikhuatiri dari mata jatuh ke hati,
Maka lahirlah senyuman,maka tercetuslah salam dan sekaligus disusuri dengan pertemuan,
Takut lahirlah nafsu kejahatan yang menguasai diri...

Hawa,
Lelaki yang baik tidak memandang paras rupa,
Lelaki soleh tidak memilih keseksiannya,
Lelaki warak tidak menilai keayuannya serta kemampuannya menggoncang iman lelaki,
Tetapi dia akan menilai akhlaknya,peribadi dan yang penting adalah agamanya...

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu,awasilah auratmu,peliharalah akhlakmu,kuatkan pendirianmu,
Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu,
Cukuplah hanya cinta dengan Allah memenuhi kekosongan jiwamu,
Biarlah cinta kedua ibubapamu memberi hangat kebahagiaanmu,
Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta keluarga membahagiakanmu....

SEGALANYA KETENTUAN ILAHI

"Siapalah aku....menolak cinta....yang hadir di jiwa....tanpa dipaksa...."
Seni kata lagu dari kumpulan nasyid terkenal,In Team ini mengingatkan saya pada satu kisah yang barangkali boleh dijadikan sebagai pedoman bagaimana seorang insan yang melalui perasaan cinta yang begitu mendalam semasa masih menuntut.

Aisyah adalah sahabat saya semasa menuntut di sebuah kolej islam di selatan.Berperwatakan sederhana dan sangat peramah orangnya.Aisyah begitu tertarik dengan seorang pemuda yang juga menuntut di situ.Yang indahnya,Aisyah tidak bertepuk sebelah tangan.Pemuda itu juga turut menaruh hati pada Aisyah.Namun tiada sebarang tindakan yang diambil oleh mereka.Masing-masing mampu bertahan demi menjaga batasan.Saban hari Aisyah menceritakan kepada saya bagaimana cinta semakin bertambah.Sambil bercerita dia menangis.Dia sedar perasaan itu hadir untuk mengujinya.Sejauhmana dia mampu bertahan dengan ujian itu.

Pada suatu malam,saya terjaga dari tidur.Saya terdengar Aisyah menangis,merintih kepada Yang Esa supaya dia dapat mengawal perasaannya.Dia merintih meminta perasaan cintanya pada pemuda itu tidak melebihi cintanya kepada Allah.Saya faham betapa sengsaranya Aisyah mengawal perasaan.Komitmen pada harapan keluarga perlu diutamakan tanpa mencampuradukkan soal cinta dalam masa terdekat ini.Pada Aisyah tanggungjawab yang sedia ada pun sudah tidak terpikul olehnya,malah ditambah pula dengan masalah percintaan.

Namun dalam doanya dia tetap berharap "jika pemuda tersebut adalah yang terbaik untukku,maka pertemukanlah jodoh di antara kami berdua pada suatu hari nanti,peliharalah nilai-nilai dan pegangan agama yang selama ini dipegang teguh oleh kami,janganlah Engkau lalaikan penghidupan sampai melanggar batas-batas tegahanMu.Namun jika sebaliknya,dia bukanlah yang baik buatku,maka campakkanlah perasaan cintanya jauh-jauh dari mendekatiku".

Sehingga ini,hubungan Aisyah dengan pemuda itu masih lagi intim.Mereka bertemu apabila perlu,namun batasan agama begitu utuh dipegang kedua-duanya.Aisyah mengikuti kursus kaunseling manakala pemuda itu mengambil bidang kejuruteraan di universiti teknologi malaysia.Dalam masa yang sama,mereka berdua tetap memegang prinsip dalam menguruskan episod cinta mereka,selain mempercayai dengan teguh ketentuan Tuhan,sekiranya ada jodoh,mereka akan disatukan sebaliknya jika tiada,mereka tetap redha dengan takdir.

Saturday, April 2, 2011

HIDUPKU..


Hidupku,
Berlabuh di tirai malam,
Tiada bulan dan bintang,
Hanya langit yang menghitam.

Aku berlari dan terus berlari,
Jenuh mengejar sang mentari,
Namun tiada pula aku temui.

Dalam riang,aku sepi,
Dalam tawa,aku menangis,
Tiada siapa yang mengetahui,
Maksud tersirat kesayuan ini,
Yang menanti sinar kebahagiaan yang dicari.

Doa harapanku,
Mengharap ihsan dari yang Satu,
Moga nanti,
Sinar yang aku cari,
Memancar indah bersama sang pelangi,
Menarik aku keluar dari kegelapan,
Membawa aku ke alam penuh warna warni.

Monday, June 7, 2010

MEMILIH YANG HALAL SATU TUNTUTAN

Kehidupan hari ini diselubungi berbagai cabaran,menuntut kita supaya berwaspada dan berhati-hati dalam setiap tindakan.Memilih yang halal satu tuntutan adalah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim dalam isu halal yang berhubungkait dengan makanan,minuman dan barang-barang keperluan seharian.

Makanan,minuman dan barang-barang keperluan ini hendaklah datang dari sumber yang halal, benar-benar suci dan bersih..Dalam firman Allah surah al-baqarah ayat 168 telah menjelaskan yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia!makanlah dari apa yang ada di bumi,yang halal lagi baik,dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."

Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini perlu dipertingkatkan serta pengetahuan tentangnya perlu diperluaskan kerana beberapa sebab,di antaranya:
  1. Cabaran kepada umat Islam dalam menghasilkan barang-barang makanan dan juga barang-barang kegunaan semakin luas dan bertambah.Jika sebelum ini,kita hanya mengetahui sebahagian barang-barang yang dijual di pasaran dihasilkan ada yang bercampur dengan bahan yang tidak halal atau tidak suci.
  2. Kebanyakan kita umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar.Inilah satu cabaran yang besar kepada kita dalam menghasilkan makanan dan barang-barang harian.Oleh itu,kerajaan sangat menggalakkan pengeluaran produk dikeluarkan oleh syarikat bumiputera atau milik orang Islam.Ini kerana akan lebih menjamin penghasilan yang menepati syarak.
  3. Kesedaran tentang isu halal ini perlu dipertingkatkan kerana makanan yang kita makan atau barangan yang kita gunakan boleh mempengaruhi tingkah laku kita.Kita bimbang jika makanan yang masuk ke dalam perut kita dan seterusnya bertukar menjadi darah daging adalah dari sumber yang syubhah ataupun dari sumber yang haram.Dan dengan sebab itu juga,kita mungkin menjadi manusia yang keras hati,malas beribadah dan sebagainya.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata,dan yang haram itupun nyata dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran yang tidak banyak diketahui oleh manusia.Maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala kesamaran sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran,jatuhlah ia ke dalam yang haram."
Hadis ini menjelaskan bahawa yang halal dan haram itu ada batasan dan sekatannya.Di antara halal dan haram itu pula ada perkara kesamaran.Maka kita diingatkan agar berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam perkara kesamaran,kerana sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran maka jatuhlah ia ke dalam yang haram atau yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Oleh itu,dalam menentukan makanan,minuman mahupun barang-barang harian yang kita gunakan hendaklah dipastikan dari sumber yang halal lagi suci bersih.Selain daripada itu,sebagai seorang muslim kita hendaklah memastikan rezeki yang kita perolehi adalah dari sumber yang dibenarkan syarak,bebas dari unsur rasuah,penipuan,penindasan dan tidak lupa berzakat.
Ini penting kerana bukan sahaja makanan,minuman dan barang-barang yang digunakan bersih dan halal tetapi juga ia diperolehi dari sumber rezeki atau pendapatan yang halal dan berkat..

Saturday, June 5, 2010

HAYATI AL-QURAN DI DALAM KEHIDUPAN

Dalam menempuh kehidupan di alam yang fana' ini,kita perlu ada petunjuk jalan dan panduan agar hidup ini selamat dan berjaya.Tanpa petunjuk dan panduan ini,jangan harap kita akan selamat.Hidup kita ibarat meraba-raba dalam gelap.Apa yang diharapkan oleh mereka yang berada dalam kegelapan ialah cahaya dan cahaya kehidupan ini ialah al-Quran...

Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran kepada umat manusia melalui Rasulullah s.a.w untuk memberikan petunjuk dan bimbingan menuju jalan kebenaran.Rasulullah s.a.w adalah pembawa cahaya yang terang benderang yang mengeluarkan manusia dari kegelapan dimana al-Quran itu membawa berita gembira,amaran dan penjelasan untuk manusia menuju ke jalan Allah..
Sepertimana firman Allah dalam surah ibrahim ayat 1 yang bermaksud:"alif lam ra..Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin tuhan mereka,menuju jalan tuhan yang maha perkasa lagi maha terpuji."
Sejarah telah membuktikan kemampuan al-Quran dalam membimbing manusia menuju jalan lurus dan terang itu.Bimbingan al-Quran telah menyelamatkan manusia dari kesesatan,
kekufuran dan kehinaan untuk hidup dengan kebahagiaan dan kemuliaan dalam dunia ini.
Pada zaman jahiliyyah misalnya umat manusia berada dalam kesesatan dan kemerosotan akhlak yang hebat,malah merebak keseluruh pelusuk bumi..Kerosakan telah terjadi dimana-mana..Dalam keadaan seperti demikian,al-Quran diturunkan untuk menyelamatkan manusia yang sedang menuju kehancuran dan dikuasai syaitan..Al-Quran juga telah membangkitkan jiwa yang suci untuk berubah kepada nilai-nilai murni yang telah diterjemahkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai utusannya yang mulia..

Kita sedar bahawa bila al-Quran dijadikan pegangan hati dan jiwa kita akan menjadi tenang,
damai,dan penuh ketenteraman...Semua persoalan duniawi dan ukhrawi akan terjawab..Tetapi ternyata silap,dengan semakin banyaknya jumlah manusia di dunia ini semakin banyaklah manusia yang mengabaikan pembacaan dan pemahaman al-Quran.Bahkan ada di antara tidak mahu kenal sama sekali dengan pedoman hidup yang digariskan oleh al-Quran......
Akibatnya,timbul berbagai kerosakan yang mendorong kepada kehancuran seperti gejala sosial di kalangan muda-mudi,rompakan, dan sebagainya..

Kita sebagai umat Islam yang cintakan al-Quran mesti memikirkan bagaimana al-Quran boleh membentuk perilaku kehidupan manusia sejagat?Bagaimana membentuk wahyu Allah itu menjadi roh yang boleh menggetarkan hati dan menggerakkan jiwa bagi mengubah sikap dan sifat manusia yang dikuasai nafsu dan syaitan? Bagaimana al-Quran boleh menyedarkan jiwa yang jauh dari landasan agama dan mengembalikan manusia kepada fitrahnya?Inilah beberapa pertanyaan yang mesti dijawab oleh umat Islam zaman sekarang,sebagai bukti kesungguhan dalam memartabatkan al-Quran sebagai sumber penyatuan,hidayah dan ikutan..

Thursday, May 6, 2010

PERANAN PENDIDIK

Dalam menuju wawasan negara untuk membangun generasi خير أمة,peranan warga pendidik amat penting.Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain samaada ibubapa,ahli keluarga,kaum kerabat,rakan-rakan,guru-guru dan sebagainya.Ibubapa,guru dan masyarakat adalah pendidik yang menentukan hala tuju generasi akan datang sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah(s.a.w)melalui sabda baginda yang bermaksud:
"setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah,maka kedua ibubapalah yang mencorakkan anak itu samaada menjadi seorang yahudi,nasrani dan majusi"(riwayat muslim)Oleh itu ibubapa adalah pendidik utama dan pertama.

Ilmu dan pendidikan bererti kita sekaligus meletakkan para guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting yang menjadi penggerak pembangunan dan perubahan umat sejagat.
Jika hari ini kita adalah seorang Perdana Menteri berkuasa,atau seorang
Raja menaiki tahta,atau seorang Presiden sebuah negara,atau seorang
Ulama' yang mulia,atau seorang Peguam menang bicara,atau seorang
Penulis terkemuka,atau siapa sahaja menjadi dewasa sejarahnya
dimulakan oleh seorang Guru biasa.

Sabda Rasulullah (s.a.w)yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik(r.a):
"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan samaada di daratan mahupun di lautan,apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan."
Begitulah besarnya peranan pendidik yang secara langsung telah mendidik serta membimbing kita di sekolah mahupun di peringkat universiti.Guru dan pendidik telah memimpin kita hingga kita dapat membaca al-Quran,boleh menguasai ilmu fardu ain,fardu kifayah dan sebagainya.Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar mereka siapalah kita pada hari ini??
Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah,berakhlak dan berkualiti di dunia dan di akhirat.Guru yang berkualiti menyampaikan ilmu yang benar dengan penuh rasa ikhlas dan tanggungjawab,berhikmah serta penuh kasih sayang,dengan wajah manis dan penuh kesabaran,sentiasa membantu dan membimbing,sentiasa menetapkan di dalam hati bahawa kerjaya guru adalah ibadah.

Dalam melaksanakan harapan yang tinggi,guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan.Contohnya masalah gejala sosial dikalangan pelajar yang semakin parah,harapan yang menggunung daripada masyarakat kepada guru,sikap sebahagian ibubapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa para guru.Namun biar sejuta cabaran mendatang,biar sejuta rintangan menghalang,bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah.

Kebanyakan kita hari ini masih lena dan alpa.Ibubapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam mencorakkan keluarga,masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah.Di samping ibubapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak.Ibubapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok,suka membuang masa,sukakan hiburan yang melampau,penyalahgunaan dadah,amalan pergaulan bebas dan sebagainya.Kita semua sedia maklum bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan modal insan kelas pertama.Ingatlah pesan saidina Ali yang bermaksud:
"Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian,sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab".
Bertepatan dengan sambutan hari guru pada bulan Mei setiap tahun,peranan dan tanggungjawab semua golongan secara bersepadu mampu menjayakan pembangunan modal insan melalui sumbangan idea dan tenaga ke arah membina sebuah negara dan bangsa yang dihormati dan disegani....