Monday, June 7, 2010

MEMILIH YANG HALAL SATU TUNTUTAN

Kehidupan hari ini diselubungi berbagai cabaran,menuntut kita supaya berwaspada dan berhati-hati dalam setiap tindakan.Memilih yang halal satu tuntutan adalah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim dalam isu halal yang berhubungkait dengan makanan,minuman dan barang-barang keperluan seharian.

Makanan,minuman dan barang-barang keperluan ini hendaklah datang dari sumber yang halal, benar-benar suci dan bersih..Dalam firman Allah surah al-baqarah ayat 168 telah menjelaskan yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia!makanlah dari apa yang ada di bumi,yang halal lagi baik,dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."

Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini perlu dipertingkatkan serta pengetahuan tentangnya perlu diperluaskan kerana beberapa sebab,di antaranya:
  1. Cabaran kepada umat Islam dalam menghasilkan barang-barang makanan dan juga barang-barang kegunaan semakin luas dan bertambah.Jika sebelum ini,kita hanya mengetahui sebahagian barang-barang yang dijual di pasaran dihasilkan ada yang bercampur dengan bahan yang tidak halal atau tidak suci.
  2. Kebanyakan kita umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar.Inilah satu cabaran yang besar kepada kita dalam menghasilkan makanan dan barang-barang harian.Oleh itu,kerajaan sangat menggalakkan pengeluaran produk dikeluarkan oleh syarikat bumiputera atau milik orang Islam.Ini kerana akan lebih menjamin penghasilan yang menepati syarak.
  3. Kesedaran tentang isu halal ini perlu dipertingkatkan kerana makanan yang kita makan atau barangan yang kita gunakan boleh mempengaruhi tingkah laku kita.Kita bimbang jika makanan yang masuk ke dalam perut kita dan seterusnya bertukar menjadi darah daging adalah dari sumber yang syubhah ataupun dari sumber yang haram.Dan dengan sebab itu juga,kita mungkin menjadi manusia yang keras hati,malas beribadah dan sebagainya.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata,dan yang haram itupun nyata dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran yang tidak banyak diketahui oleh manusia.Maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala kesamaran sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran,jatuhlah ia ke dalam yang haram."
Hadis ini menjelaskan bahawa yang halal dan haram itu ada batasan dan sekatannya.Di antara halal dan haram itu pula ada perkara kesamaran.Maka kita diingatkan agar berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam perkara kesamaran,kerana sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran maka jatuhlah ia ke dalam yang haram atau yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Oleh itu,dalam menentukan makanan,minuman mahupun barang-barang harian yang kita gunakan hendaklah dipastikan dari sumber yang halal lagi suci bersih.Selain daripada itu,sebagai seorang muslim kita hendaklah memastikan rezeki yang kita perolehi adalah dari sumber yang dibenarkan syarak,bebas dari unsur rasuah,penipuan,penindasan dan tidak lupa berzakat.
Ini penting kerana bukan sahaja makanan,minuman dan barang-barang yang digunakan bersih dan halal tetapi juga ia diperolehi dari sumber rezeki atau pendapatan yang halal dan berkat..

Saturday, June 5, 2010

HAYATI AL-QURAN DI DALAM KEHIDUPAN

Dalam menempuh kehidupan di alam yang fana' ini,kita perlu ada petunjuk jalan dan panduan agar hidup ini selamat dan berjaya.Tanpa petunjuk dan panduan ini,jangan harap kita akan selamat.Hidup kita ibarat meraba-raba dalam gelap.Apa yang diharapkan oleh mereka yang berada dalam kegelapan ialah cahaya dan cahaya kehidupan ini ialah al-Quran...

Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran kepada umat manusia melalui Rasulullah s.a.w untuk memberikan petunjuk dan bimbingan menuju jalan kebenaran.Rasulullah s.a.w adalah pembawa cahaya yang terang benderang yang mengeluarkan manusia dari kegelapan dimana al-Quran itu membawa berita gembira,amaran dan penjelasan untuk manusia menuju ke jalan Allah..
Sepertimana firman Allah dalam surah ibrahim ayat 1 yang bermaksud:"alif lam ra..Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin tuhan mereka,menuju jalan tuhan yang maha perkasa lagi maha terpuji."
Sejarah telah membuktikan kemampuan al-Quran dalam membimbing manusia menuju jalan lurus dan terang itu.Bimbingan al-Quran telah menyelamatkan manusia dari kesesatan,
kekufuran dan kehinaan untuk hidup dengan kebahagiaan dan kemuliaan dalam dunia ini.
Pada zaman jahiliyyah misalnya umat manusia berada dalam kesesatan dan kemerosotan akhlak yang hebat,malah merebak keseluruh pelusuk bumi..Kerosakan telah terjadi dimana-mana..Dalam keadaan seperti demikian,al-Quran diturunkan untuk menyelamatkan manusia yang sedang menuju kehancuran dan dikuasai syaitan..Al-Quran juga telah membangkitkan jiwa yang suci untuk berubah kepada nilai-nilai murni yang telah diterjemahkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai utusannya yang mulia..

Kita sedar bahawa bila al-Quran dijadikan pegangan hati dan jiwa kita akan menjadi tenang,
damai,dan penuh ketenteraman...Semua persoalan duniawi dan ukhrawi akan terjawab..Tetapi ternyata silap,dengan semakin banyaknya jumlah manusia di dunia ini semakin banyaklah manusia yang mengabaikan pembacaan dan pemahaman al-Quran.Bahkan ada di antara tidak mahu kenal sama sekali dengan pedoman hidup yang digariskan oleh al-Quran......
Akibatnya,timbul berbagai kerosakan yang mendorong kepada kehancuran seperti gejala sosial di kalangan muda-mudi,rompakan, dan sebagainya..

Kita sebagai umat Islam yang cintakan al-Quran mesti memikirkan bagaimana al-Quran boleh membentuk perilaku kehidupan manusia sejagat?Bagaimana membentuk wahyu Allah itu menjadi roh yang boleh menggetarkan hati dan menggerakkan jiwa bagi mengubah sikap dan sifat manusia yang dikuasai nafsu dan syaitan? Bagaimana al-Quran boleh menyedarkan jiwa yang jauh dari landasan agama dan mengembalikan manusia kepada fitrahnya?Inilah beberapa pertanyaan yang mesti dijawab oleh umat Islam zaman sekarang,sebagai bukti kesungguhan dalam memartabatkan al-Quran sebagai sumber penyatuan,hidayah dan ikutan..