Monday, June 7, 2010

MEMILIH YANG HALAL SATU TUNTUTAN

Kehidupan hari ini diselubungi berbagai cabaran,menuntut kita supaya berwaspada dan berhati-hati dalam setiap tindakan.Memilih yang halal satu tuntutan adalah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim dalam isu halal yang berhubungkait dengan makanan,minuman dan barang-barang keperluan seharian.

Makanan,minuman dan barang-barang keperluan ini hendaklah datang dari sumber yang halal, benar-benar suci dan bersih..Dalam firman Allah surah al-baqarah ayat 168 telah menjelaskan yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia!makanlah dari apa yang ada di bumi,yang halal lagi baik,dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."

Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini perlu dipertingkatkan serta pengetahuan tentangnya perlu diperluaskan kerana beberapa sebab,di antaranya:
  1. Cabaran kepada umat Islam dalam menghasilkan barang-barang makanan dan juga barang-barang kegunaan semakin luas dan bertambah.Jika sebelum ini,kita hanya mengetahui sebahagian barang-barang yang dijual di pasaran dihasilkan ada yang bercampur dengan bahan yang tidak halal atau tidak suci.
  2. Kebanyakan kita umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar.Inilah satu cabaran yang besar kepada kita dalam menghasilkan makanan dan barang-barang harian.Oleh itu,kerajaan sangat menggalakkan pengeluaran produk dikeluarkan oleh syarikat bumiputera atau milik orang Islam.Ini kerana akan lebih menjamin penghasilan yang menepati syarak.
  3. Kesedaran tentang isu halal ini perlu dipertingkatkan kerana makanan yang kita makan atau barangan yang kita gunakan boleh mempengaruhi tingkah laku kita.Kita bimbang jika makanan yang masuk ke dalam perut kita dan seterusnya bertukar menjadi darah daging adalah dari sumber yang syubhah ataupun dari sumber yang haram.Dan dengan sebab itu juga,kita mungkin menjadi manusia yang keras hati,malas beribadah dan sebagainya.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata,dan yang haram itupun nyata dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran yang tidak banyak diketahui oleh manusia.Maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala kesamaran sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran,jatuhlah ia ke dalam yang haram."
Hadis ini menjelaskan bahawa yang halal dan haram itu ada batasan dan sekatannya.Di antara halal dan haram itu pula ada perkara kesamaran.Maka kita diingatkan agar berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam perkara kesamaran,kerana sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran maka jatuhlah ia ke dalam yang haram atau yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Oleh itu,dalam menentukan makanan,minuman mahupun barang-barang harian yang kita gunakan hendaklah dipastikan dari sumber yang halal lagi suci bersih.Selain daripada itu,sebagai seorang muslim kita hendaklah memastikan rezeki yang kita perolehi adalah dari sumber yang dibenarkan syarak,bebas dari unsur rasuah,penipuan,penindasan dan tidak lupa berzakat.
Ini penting kerana bukan sahaja makanan,minuman dan barang-barang yang digunakan bersih dan halal tetapi juga ia diperolehi dari sumber rezeki atau pendapatan yang halal dan berkat..

No comments:

Post a Comment